Kerajaan dan politik Iran

Iran adalah antara ahli pengasas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan juga ahli kepada Pertubuhan Persidangan Islam dan juga Pergerakan Negara-Negara Berkecuali. Sistem politik di Iran adalah berasaskan perlembagaan yang dinamakan "Qanun-e Asasi" (Undang-undang asas)

Pemimpin Agung

Pemimpin Agung Iran bertanggung jawab terhadap "polisi-polisi umum Republik Islam Iran". Beliau juga merupakan ketua pasukan bersenjata dan badan perisikan Iran dan mempunyai kuasa mutlak untuk mengisytiharkan perang. Ketua kehakiman, stesen radio dan rangkaian televisyen, ketua polis dan tentera dan enam daripada dua belas ahli Majlis Wali Iran juga dilantik oleh Pemimpin Agung. Majlis Pakar pula bertanggungjawab mengundi dan juga memecat Pemimpin Agung atas justifikasi kelayakan dan populariti individu itu. Majlis ini juga bertanggung jawab memantau tugasan Pemimpin Agung.

Eksekutif

Orang kedua terpenting dalam kerajaan Iran pula ialah presiden Iran. Setiap presiden diundi dan akan memerintah Iran selama empat tahun. Setiap calon presiden pula mesti mendapat kelulusan daripada Majlis Wali Iran sebelum undian dibuat supaya mereka serasi dengan idea negara Islam. Tanggung jawab presiden pula adalah memastikan perlembagaan negara diikuti dan juga mempraktikan kuasa eksekutif. Tetapi presiden tidak berkuasa diatas perkara-perkara yang dibawah kuasa Pemimpin Agung. Presiden pula melantik dan memantau Kabinet Iran, dan berkuasa membuat keputusan mengenai pentadbiran negara. Terdapat lapan timbalan presiden dan dua puluh satu menteri yang turut sama menolong presiden dalam pentadbiran, dan kesemua mereka mestilah mendapat kelulusan badan perundangan. Tidak seperti negara-negara lain, cabang eksekutif tidak berkuasa dalam pasukan bersenjata, tetapi presiden Iran berkuasa melantik Menteri Pertahanan dan Perisikan dan harus mendapat persetujuan Pemimpin Agung dan kelulusan badan perundangan.

Majlis Wali

Majlis Wali Iran mempunyai dua belas pakar undang-undang, dan enam daripada mereka dilantik oleh Pemimpin Agung. Ketua Kehakiman pula akan mencadangkan enam ahli selebihnya dan mereka akan dilantik secara rasminya oleh parlimen Iran atau Majles. Majlis ini akan mentafsirkan perlembagaan dan mempunyai kuasa veto untuk keputusan dan keahlian parlimen Iran. Jikalau terdapat undang-undang yang tidak sesuai dengan hukum Sharia, maka ia akan dirujuk semula oleh parlimen.

Majlis Penyesuaian

Majlis Penyesuaian berkuasa untuk menyelesaikan konflik antara parlimen dengan Majlis Wali Iran. Badan ini juga turut menjadi penasihat kepada Pemimpin Agung.

Parlimen

Majles-e Shura-ye Eslami (Majlis Perundingan Islam) mempunyai 290 ahli yang dilantik dan akan bertugas selama empat tahun. Semua calon Majles dan rang undang-undang daripada parlimen haruslah mendapat persetujuan Majlis Wali.

Kehakiman

Pemimpin Agung akan melantik ketua kehakiman Iran, dan beliau pula akan melantik Mahkamah Agung dan juga ketua pendakwa awam. Terdapat beberapa jenis mahkamah di Iran termasuklah mahkamah awam yang bertanggungjawab atas kes-kes awam dan jenayah. Terdapat juga "Mahkamah Revolusi" yang mengadili beberapa kes-kes tertentu termasuklah isu mengenai keselamatan negara.

Majlis Pakar

Majlis Pakar yang bermesyuarat selama seminggu setiap tahun mempunyai 86 ahli yang pakar dalam ilmu-ilmu agama. Mereka diundi secara umum dan akan bertugas selama lapan tahun. Majlis ini akan menentukan kelayakan calon-calon presiden dan ahli parlimen. Majlis ini juga akan mengundi untuk jawatan Pemimpin Agung dan juga mempunyai kuasa untuk memecat beliau.

Majlis Bandar dan Kampung

Majlis tempatan akan diundi secara umum untuk bertugas selama empat tahun di ke semua bandar dan kampung. Kuasa majlis ini adalah pelbagai, daripada melantik datuk bandar hinggalah kepada menjaga kebajikan rakyat.